Auto Express

Daihatsu hentikan penghantaran kereta baru kerana skandal ujian keselamatan; Perodua & Toyota terlibat


Daihatsu hentikan penghantaran kereta baru kerana skandal ujian keselamatan; Perodua & Toyota terlibat

Daihatsu hari ini mengumumkan bahawa penghantaran untuk semua kenderaan yang dijual akan ditangguhkan, termasuk model yang diproduksi di Jepun dan juga pasaran luar. Ini adalah susulan pembuat kereta itu menyerahkan laporan oleh panel bebas kepada kementerian tanah, infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan (MLIT) Jepun serta kementerian ekonomi, perdagangan dan industri (METI).

Panel bebas berkenaan telah menyiasat skandal berhubung penipuan ujian keselamatan oleh Daihatsu, yang didedahkan pada April tahun ini. Ketika itu, Daihatsu mengakui “perbuatan salah” yang dilakukan khususnya ujian keselamatan kemalangan yang dibuat untuk permohonan kelulusan peraturan untuk empat model. Lebih 88,000 unit terjejas, dengan titik fokus ialah kemasan pintu yang tidak memenuhi piawaian keselamatan dalam ujian impak pelanggaran sisi.

Kemudian pada bulan Mei, Daihatsu mengumumkan ia telah menemui penyelewengan dalam prosedur pensijilan untuk ujian perlanggaran sisi yang melibatkan Daihatsu Rocky dan Toyota Raize dalam versi hibrid. Menurut Daihatsu, bermula dengan laporan awal tersebut ia kini telah menemui lebih banyak penyelewengan dalam permohonan pensijilannya.

Dalam kenyataan akhbar rasmi (diterjemahkan daripada bahasa Jepun), syarikat itu berkata, “hasil daripada penyiasatan, sebagai tambahan kepada penipuan kemasan pintu pada bulan April dan penipuan ujian perlanggaran sisi tiang pada bulan Mei, didapati terdapat 174 penyelewengan dalam 25 item ujian.”

Syarikat itu mengesahkan bahawa 64 model dan tiga enjin terjejas, termasuk yang sedang dalam produksi atau pembangunan serta yang telah dihentikan. Rangkaian model yang terjejas meliputi yang dijual di bawah jenama Daihatsu dan yang dibekalkan secara OEM kepada Toyota, Mazda dan Subaru.

Selain itu beberapa model Perodua juga telah disenaraikan dalam kenyataan terbaharu ini, iaitu Axia generasi pertama, Axia generasi kedua, Aruz, Alza generasi kedua, Ativa, Myvi dan Bezza. Manakala model Toyota yang disenaraikan berkaitan dengan pasaran Malaysia ialah Rush, Yaris, Vios dan Veloz.

Daihatsu hentikan penghantaran kereta baru kerana skandal ujian keselamatan; Perodua & Toyota terlibat

Menurut panel bebas berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan, punca utama penipuan ini adalah “masalah pengurusan yang menggalakkan pembangunan dalam jangka masa pendek tanpa mengambil langkah untuk menangani penipuan itu.”

“Asas kepada penipuan ini ialah pasukan pengurusan tidak memahami sepenuhnya situasi sebenar di lapangan, dan hanya bertindak balas secara ad hoc. Kami percaya bahawa beban itu telah diabaikan dan ia telah mewujudkan persekitaran di mana pekerja tidak dapat bersuara apabila mereka menghadapi masalah,” tambah kenyataan itu lagi.

“Kami benar-benar memohon maaf kerana mengkhianati kepercayaan pelanggan kami dan pihak berkepentingan lain, dan menyebabkan mereka berada dalam kesulitan dan kebimbangan yang besar,” kata Daihatsu dalam kenyataannya.

“Melangkah ke hadapan, berdasarkan cadangan jawatankuasa pihak ketiga, kami akan mengambil langkah menyeluruh untuk mencegahnya dari berulang, dan bukan sahaja akan menyemak operasi pensijilan kami, tetapi juga mengusahakan pembaharuan asas kepada budaya korporat kami yang mengutamakan kesedaran pematuhan,” tambah syarikat itu lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

news7g

News7g: Update the world's latest breaking news online of the day, breaking news, politics, society today, international mainstream news .Updated news 24/7: Entertainment, Sports...at the World everyday world. Hot news, images, video clips that are updated quickly and reliably

Related Articles

Back to top button