Auto Express

Skandal Daihatsu – Presiden dan Pengerusi letak jawatan, diganti beberapa ketua dari Toyota


Skandal Daihatsu – Presiden dan Pengerusi letak jawatan, diganti beberapa ketua dari Toyota

Susulan arahan pembetulan dari kementerian tanah, infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan (MLIT) Jepun berkenaan skandal penyelewengan ujian keselamatan yang dikesan dilakukan oleh Daihatsu sebelum ini, pemilik jenama kereta kompak berkenaan iaitu Toyota Motor Corporation (TMC) hari ini mengumumkan struktur baharu dalam kepimpinan Daihatsu Motor Co.Ltd (DMC).

Dalam kenyataan tersebut, Pengerusi DMC iaitu Sunao Matsubayashi dan juga Presiden DMC sebelum ini iaitu Soichiro Okudaira tidak lagi memegang jawatan masing-masing. DMC kini akan diterajui oleh Presiden baharu iaitu Masahiro Inoue yang sebelum ini merupakan CEO Toyota Motor Corporation Wilayah Amerika Latin dan Caribbean.

Inoue akan dibantu oleh naib presiden ekskutif baharu iaitu Masanori Kuwata, yang sebelum ini merupakan ketua bagi projek promosi elektrifikasi Lexus di Lexus International Co. Manakala jawatan pengarah bukan residen yang sebelum ini dipegang oleh Masahiro Yamamoto digantikan oleh Keiko Yanagi yang sebelum ini merupakan timbalan ketua pegawai di kumpulan Toyota Customer First Promotion.

Walau bagaimanapun dua pegawai tinggi DMC iaitu Yusuke Takeda (ketua pegawai kumpulan jualan dan servis pelanggan) dan Toshinori Edamoto (ketua pegawai kumpulan pentadbiran korporat) masih kekal memegang jawatan masing-masing. Barisan kepimpinan baharu Daihatsu ini akan memulakan tugas mereka berkuatkuasa 1 Mac 2024.

Skandal Daihatsu – Presiden dan Pengerusi letak jawatan, diganti beberapa ketua dari Toyota

“Mulai sekarang, di bawah struktur baharu, kami akan melaksanakan langkah-langkah yang menyeluruh untuk mencegah perkara sama dari berulang dan berusaha ke arah pemulihan masa depan Daihatsu. Toyota Motor Corporation (Toyota) juga akan terus menyokong Daihatsu baharu,” kata Toyota dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Beberapa objektif telah dirangka oleh Toyota dengan penstrukturan semula lembaga pengarah baharu Daihatsu ini. Antaranya untuk memperbaharui dan menghidupkan semula syarikat itu.

“Kami percaya bahawa Daihatsu mesti kembali ke akar umbinya sebagai ‘syarikat mobiliti yang berpusat pada kenderaan kompak’ yang memberikan respon terus kepada keperluan pelanggannya dan memperkayakan kehidupan mereka, serta berazam sepenuhnya untuk dilahirkan semula sebagai sebuah syarikat baru,” tambah Toyota.

Menurut Toyota lagi, isu skandal penyelewengan pensijilan keselamatan Daihatsu ini berpunca kerana beban kerja yang diterima oleh kakitangannya melebihi kapasiti mereka.

“Untuk membina semula Daihatsu, kami percaya bahawa pihak pengurusan mesti pergi ke barisan hadapan, mendengar dengan teliti pendapat orang-orang di sana, dan mencipta sistem yang membolehkan pengurusan memulihkan kedaulatan di tempat kerja. Berdasarkan aspek ini, kami mempertimbangkan perkara yang perlu dilakukan dan membuat keputusan dari perspektif meletakkan orang yang betul di tempat yang betul.

Skandal Daihatsu – Presiden dan Pengerusi letak jawatan, diganti beberapa ketua dari Toyota

“Melangkah ke hadapan di bawah struktur baharu, sambil terus mengadakan dialog secara dalaman dalam Daihatsu dan dengan pihak berkepentingan, kami akan mempertimbangkan dan menentukan bentuk konkrit perniagaan masa depan Daihatsu dan struktur bermula daripada jawatan ketua pegawai ke bawah yang akan mempromosikannya. Selepas berbuat demikian, kami kemudiannya ingin menyediakan peluang pada tahun fiskal baharu untuk menerangkan struktur baharu dan hala tuju pengurusan Daihatsu,” jelas Toyota dalam kenyataan yang sama.

Toyota turut sekali lagi memohon maaf kepada pelanggan, pembekal, pengedar, komuniti di sekitar kilang-kilang Daihatsu beroperasi, dan juga semua pemegang taruh yang terkesan kerana isu ini.

Disebabkan skandal ini, Daihatsu terpaksa menghentikan operasi semua kilangnya bermula 20 Disember lalu sehingga penghujung Januari, dan kemudiannya ditangguh lagi sehingga bulan ini. Menerusi perkembangan terbaharu, MLIT baru sahaja meluluskan Daihatsu untuk memulakan semula operasinya bagi memproduksi 10 model pada 26 Februari ini.

Skandal ini juga menyaksikan ada model Daihatsu yang telah ditarik semula sijil kelulusan jenis kenderaan (VTA), dan beberapa panggilan semula juga telah mula dibuat selepas beberapa masalah disahkan dikesan ketika siasatan ke atas beberapa penyelewengan maklumat yang dilakukan ketika proses pensijilan keselamatan model-model berkenaan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

news7g

News7g: Update the world's latest breaking news online of the day, breaking news, politics, society today, international mainstream news .Updated news 24/7: Entertainment, Sports...at the World everyday world. Hot news, images, video clips that are updated quickly and reliably

Related Articles

Back to top button