Auto Express

Honda Accord generasi ke-11 dilancar di Indonesia – RM290k, hanya varian hibrid RS e:HEV, 207 PS


Honda Accord generasi ke-11 dilancar di Indonesia – RM290k, hanya varian hibrid RS e:HEV, 207 PS

Selepas didedahkan buat pertama kali di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 Ogos lalu, kini Honda Accord generasi ke-11 yang membuat kemunculan sulung global di Amerika Syarikat pada November 2022 secara rasminya mula dijual di pasaran republik berkenaan. Ini bermakna Indonesia bukan sahaja negara pertama yang menerima Accord ini bagi pasaran ASEAN, malah ia juga menerima model tersebut lebih awal dari pasaran Eropah dan Australia.

Bagi pasaran Indonesia, PT Honda Prospect Motor hanya menawarkan Accord ini dalam satu varian tunggal iaitu Honda Accord RS e:HEV, dijual pada harga bermula 959,900,000 rupiah (RM290k). Ini bermakna Accord berkenaan tampil dengan kit penggayaan RS yang sporty serta diberikan unit rangkaian kuasa hibrid I-MMD.

Walau bagaimanapun jika diteliti, tiada sebarang penambahan kit aero lebih agresif untuk varian RS pasaran Indonesia ini dan kelihatan sama dengan model pasaran AS. Ia hanya dibezakan dengan tambahan lencana ‘RS’ pada gril hadapan serta pada penutup but di belakang, bersama pemadanan set rim aloi 18-inci lima jejari berkembar yang berbeza dari model pasaran AS.

Honda Accord generasi ke-11 dilancar di Indonesia – RM290k, hanya varian hibrid RS e:HEV, 207 PS

Antara perincian lain yang diberikan pada sebelah luar Accord ini termasuk logo ‘H’ dengan serlahan biru, kemasan hitam berkilat pada gril hadapan, cermin sisi, antena sirip yu, spoiler bawah hadapan, skirt sisi dan spoiler but. Ia juga diberikan lampu hadapan LED penuh, lampu isyarat membelok LED sequential, lampu belakang LED, bumbung panaromik, dan juga penutup aliran udara aktif pada gril hadapan bagi membolehkan sistem penyejukkan beroperasi dengan lebih efisien.

Manakala pada bahagian kabin Accord pasaran Indonesia ini diberikan tema hitam sepenuhnya dengan upholsteri gabungan kulit dan fabrik bersama serlahan jahitan merah, tempat duduk hadapan larasan kuasa lapan-hala dengan sokongan lumbar dan fungsi memori untuk pemandu, sistem penghawa dingin dua-zon bersama penghembus udara kabin belakang, dua port pengecas Type C, pelindung cahaya cermin tingkap belakang, lampu kabin LED sentuhan elektrostatik dan juga lampu suasana kabin pelbagai warna.

Pemandu pula menerima paparan instrumen digital dengan skrin TFT 10.2-inci dan paparan head-up 11.5-inci. Manakala untuk sistem infotaimen, Accord ini dilengkapi dengan paparan Display Audio bersaiz 12.3-inci yang menyokong Google Built-in, Apple CarPlay dan Android Auto serta dihubungkan kepada sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara.

Honda Accord generasi ke-11 dilancar di Indonesia – RM290k, hanya varian hibrid RS e:HEV, 207 PS

Dengan adanya Google Built-in, ia bukan sahaja diberikan fungsi seperti Google Maps, Google play dan sebagainya, malah pemandu juga boleh mengoperasikan pelbagai fungsi kereta ini seperti sistem navigasi, kawalan suhu penghawa dingin dan lain-lain dengan hanya menggunakan arahan suara menerusi sistem Google Assistant.

Ia juga diberikan aplikasi Honda Connect bagi membolehkan pemandu mengawal pelbagai fungsi secara jarak jauh, serta memberikan notifikasi kepada pemandu jika terlupa menutup pintu, tingkap dan sebagainya. Ruang but yang tersedia pada Accord ini adalah 568 liter, dan walaupun ia sebuah sedan tempat duduk belakangnya masih boleh dilipat rata bagi memberikan ruang kargo lebih besar.

Accord RS e:HEV pasaran Indonesia ini menerima unit rangkaian kuasa hibrid i-MMD 2.0L yang sama seperti Honda Civic RS e:HEV yang sudahpun dilancarkan di Malaysia tahun lalu. Ia menggandingkan enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 144 PS dan tork maksima 179 Nm, bersama dua buah motor elektrik.

Sistem ini berfungsi sama dengan sistem 1.5L i-MMD pada City dan HR-V hibrid, di mana enjin petrol yang dibekalkan dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri. Sebuah motor bersaiz kecil dipadankan terus pada aci engkol berfungsi untuk menghidupkan enjin, manakala motor utama yang memacu roda hadapan pula dibekalkan kuasa 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork maksima 335 Nm.

Ada masa-masa tertentu motor elektrik berkenaan turut bergabung tenaga dengan enjin petrol yang dihubungkan dengan klac lock-up dalam transmisi E-CVT. Secara keseluruhan enjin petrol dan motor elektrik berkenaan menghasilkan kuasa gabungan 207 PS.

Empat mod pemanduan diberikan pada unit rangkaian kuasa tersebut iaitu Normal, Sport, Econ dan Individual. Ia juga menampilkan satu suis khas dipanggil sebagai suis EV, yang akan mengoptimakan penggunaan motor elektrik tanpa menghidupkan enjin petrol untuk bergerak.

Untuk keselamatan, model ini diberikan lapan-beg udara, kamera 360 darjah dengan paparan pelbagai sudut, lampu membelok aktif, kamera pemantau titik buta Honda LanWatch dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Honda Sensing yang didakwa lebih lengkap dari model generasi sebelumnya.

Antara fungsi dalam sistem Honda Sensing tersebut adalah Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBSTM), cruise control adaptif dengan Low-Speed Follow (ACC dan LSF), sistem pengelak keluar jalan dan amaran keluar lorong (RDM dan LDW), sistem bantuan kekal lorong (LKAS) serta sistem notifikasi mula gerak kereta hadapan (LCDN).

Tiga pilihan warna badan ditawarkan untuk Honda Accord RS e:HEV pasaran Indonesia ini iaitu Platinum White Pearl, Crystal Black Pearl serta Ignite Red Metallic.

Bagi anda di Malaysia yang berminat dengan Accord generasi ke-11 ini, berita buruk untuk anda, Honda Malaysia sudahpun mengesahkan bahawa model ini tidak akan di bawa ke pasaran tempatan dan Accord generasi sedia ada nampaknya menjadi Accord terakhir yang dijual di sini.

GALERI: Brosur Honda Accord RS e:HEV pasaran Indonesia

GALERI: Honda Accord RS e:HEV di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

news7g

News7g: Update the world's latest breaking news online of the day, breaking news, politics, society today, international mainstream news .Updated news 24/7: Entertainment, Sports...at the World everyday world. Hot news, images, video clips that are updated quickly and reliably

Related Articles

Back to top button