Auto Express

CATL perkenal bateri EV Shenxing Superfast; jarak gerak 400 km dicapai dengan cas hanya 10 minit!


CATL perkenal bateri EV Shenxing Superfast; jarak gerak 400 km dicapai dengan cas hanya 10 minit!

Pengeluar bateri EV dari China, CATL telah memperkenalkan produk baharunya yang digelar Shenxing Superfast, yang didakwa bateri cas super pantas 4C LFP (lithium logam fosfat) pertama dalam dunia.

Menurut CATL, bateri baharu ini dihasilkan dengan mengambilkira aspek kebimbangan cas pantas yang menjadi antara punca utama mengapa pengguna enggan beralih ke kereta elektrik. Bagi membolehkan bateri tersebut dicas dengan sangat pantas, CATL meneruskan pembangunan material, elektrokimia dan juga struktur sistem secara keseluruhannya.

Bateri Shenxing ini menggunakan teknologi jaringan katod super elektonik dan juga material katod LFP yang dikristalkan secara nano sepenuhnya bagi membentuk jaringan super elektronik, membolehkan ion lithium diekstrak dan juga respon pantas terhadap isyarat mengecas, kata CATL.

CATL telah membangunkan formula elektrolit pengalir super dengan sasaran bagi mengurangkan kelikatan elektrolit, seterusnya menambahbaik kekonduksian. Filem SEI (antara fasa elektrolit padu) bateri ini dihasilkan dengan sangat nipis bagi mengurangkan rintangan terhadap pergerakan ion-lithium. Manakala pada bahagian pemisah, tahap keliangan yang tinggi dan purata jarak pemindahan yang dipendekkan turut membantu mengurangkan rintangan pemindahan ion-ion lithium.

Hasilnya, bateri baharu ini didakwa mampu memberikan kadar cas yang membolehkan jarak gerak sejauh 400 km dengan pengecasan dibuat hanya selama 10-minit. Kadar cas dari 0-80% juga dapat dicapai hanya dalam masa 10 minit apabila ia dicas pada suhu bilik dan jarak pemanduan lebih dari 700 km. Namun CATL tidak memperincikan kadar pengecasan dan juga kapasiti bateri untuk dakwaan ini.

Sementara itu, teknologi kawalan suhu sel pada bateri ini dapat memastikan sel dapat dipanaskan sehingga julat suhu operasi optimumnya dengan cepat, membolehkan pengecasan 0-80% dalam 30 minit pada suhu sekeliling -10 darjah Celsius. CATL juga mendakwa bateri ini memberikan “prestasi pecutan 0-100 km/j tanpa kompromi” pada suhu rendah.

Dari segi keselamatan, CATL menyatakan bahawa bateri Shenxing ini menggunakan elektrolit dan pemisah yang dinaik taraf untuk perlindungan berganda. Sistem ujian kerosakan masa nyata juga diwujudkan bagi melindungi daripada potensi bahaya yang timbul daripada pengecasan pantas, dengan mengawal selia suhu global dalam sel bateri melalui penggunaan algoritma.

Menurut CATL, bateri cas super pantas Shenxing ini dijangka akan mula diproduksi secara besar-besaran menjelang akhir tahun ini, manakala kenderaan elektrik yang akan menggunakannya dijangka akan dijual pada suku pertama 2024.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

news7g

News7g: Update the world's latest breaking news online of the day, breaking news, politics, society today, international mainstream news .Updated news 24/7: Entertainment, Sports...at the World everyday world. Hot news, images, video clips that are updated quickly and reliably

Related Articles

Back to top button